97 pelajar sekolah rendah terima dermasiswa, disokong dalam pendidikan
97-pelajar-sekolah-rendah-terima-dermasiswa-disokong-dalam-pendidikan.
LEBIH $100,000 berjaya dikumpulkan dalam acara beriani amal sulung antara Dana Amanah Pendidikan (ETF) di bawah naungan Yayasan Mendaki dengan Masjid Khalid.
Sebanyak 10,000 peket beriani berjaya dijual dan diedarkan hasil sokongan masyarakat.
Wang tersebut akan membiayai bantuan buat 10,000 pelajar ETF yang memerlukan.
Ketika ditemui di tapak sementara Masjid Khalid di 97 Onan Road semalam, pengerusi Masjid Khalid Alla'udin Mohamed bersyukur beriani masakan masjidnya kekal disukai malah dirindui ramai sekali gus mampu membantu mengumpulkan dana buat ETF.
"Kami dengan rela dan gembira mahu membantu ETF. Sebelum 14 hari sahaja, habis 10,000 peket ditempah. Masyarakat kita, semua masjid, bergotong-royong dengan semua pihak untuk menjayakan projek ETF ini," ujarnya.
Acara pengedaran beriani amal itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-undang, Encik Edwin Tong.
Beliau datang bersama mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East Fahmi Aliman, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) Esa Masood, Pengarah Kanan Pembangunan Masjid dan Masyarakat Muis Mohamad Helmy Mohd Isa dan pengerusi jawatankuasa ETF Abdul Razak Hassan Maricar.
Menurut Encik Razak, ETF berhasrat mengumpulkan dana sebanyak $1.12 juta tahun ini.
Penerima bantuan ETF terdiri daripada murid sekolah rendah yang menerima $200 setahun dan pelajar sekolah menengah yang menerima $250 setahun. Mereka juga menerima baucar pengangkutan dan keperluan sekolah.
ETF turut membantu pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan menyediakan dermasiswa.
Pengedaran beriani amal itu turut disokong relawan pertubuhan pelbagai bangsa dan agama seperti Persatuan Phor Tiong Koh Peng dan Gereja Heart of God.
Diminta mengulas kerjasama relawan pelbagai agama dan bangsa, terutama sekali ekoran penangkapan beberapa individu radikal baru-baru ini, Encik Tong berkata:
"Acara ini membuktikan bahawa masyarakat kita hidup aman damai tetapi hal itu tidak boleh dipandang remeh. Acara sebegini mampu memupuk persefahaman lebih mendalam. Pengaruh yang meradikalkan wujud secara dalam talian. Justeru kerjasama ini membina hubungan lebih erat di peringkat akar umbi.
"Kepelbagaian kita istimewa tetapi perlu dijaga rapi. Kita perlu bekerja keras sebagai satu masyarakat untuk melestarikannya. Belia masih mencari identiti dan mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Maka kegiatan silang agama dan budaya seperti ini boleh membentuk pemikiran mereka."